Monday, October 20, 2008

[Tazkirah 2] MEYAMBUT KELAHIRAN ANAK

Tahniah diucapkan kepada ibubapa yang dikurniakan anak-anak. Bersyukurlah di atas kurniaan yang tidak ternilai ini. Bagi yang masih belum memilikinya, janganlah berlengah lagi. Berusahalah dan berdoalah agar Allah kurniakan anak-anak yang menjadi penyejuk bahtera kita. Bagi yang masih membujang, ketahuilah memiliki isteri atau suami serta anak-anak adalah nikmat hidup yang tidak boleh diucap dengan kata-kata.
Anak yang dikurniakan bukanlah hanya pelengkap hidup berkeluarga tetapi ianya adalah satu tanggungjawab yang mesti dijalankan sebaik mungkin. Ibubapa memainkan peranan utama bagaimana hendak mencorakkan anak-anak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibubapalah yang akan mencorakkan anak tersebut, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi". (Riwayat Bukhari). Andai kita mahu anak-anak kita menjadi seorang Muslim yang hebat maka kitalah yang berperanan untuk mengasah kehebatannya dengan nilai-nilai Islam sejati sedari kecil. Pepatah Melayu pun ada mengatakan bahawa kalau hendak dilenturkan buluh biarlah dari rebungnya.
Amalan Apabila Mendapat Cahaya Mata
Antara amalan-amalan yang semestinya dilakukan apabila menerima orang baru ialah:
  1. Azan dan Iqamah : Apabila menerima kelahiran seseorang cahaya mata, maka diazankan ditelinga kanan dan diiqamahkan di telinga kiri. Perkara ini patut dilakukan apabila sebaik sahaja seseorang bayi itu dibersihkan dan diselimutkan dengan pakaian. Biarlah perkataan pertama yang didengari oleh bayi tersebut ialah kalimah yang membesarkan Allah dan bukannya lagu-lagu yang melalaikan. Abu Rafi' pernah berkata yang bermaksud: "Saya lihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga Hasan bin Ali ketika baru dilahirkan oleh Fatimah." (Abu Daud dan Tirmizi). Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah mengazankan di telinga Hasan bin Ali di hari ia dilahirkan, kemudian diiqamahkan pula di telinganya yang kiri.
  2. Tahnik dan Mencukur Rambut: Dalam tradisi Melayu, tahnik ini dinamakan upacara belah mulut. Menerusi tahnik ini, disunatkan 'merasakan' makanan yang manis ke mulut bayi yang baru dilahirkan. Hikmah daripada memberikan makanan manis ini adalah untuk menguatkan otot-otot mulut bayi supaya kuat untuk menghisap susu ibunya. Adalah lebih baik upacara tahnik ini dilakukan oleh orang-orang alim bersesuaian dengan petunjuk Rasulullah SAW. Dalam satu hadith dalam sahih Bukhari dan Muslim daripada Abu Burdah yang bermaksud:"Aku pernah memperoleh seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnikkannya dengan kurma, lalu didoakannya agar dicucuri berkat, kemudian diapun menyerahkannya kepadaku". (Abu Musa) Selain itu, disunatkan menggunting atau mencukur rambut seseorang bayi pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian rambut yang dicukur atau digunting tadi ditimbang dengan perak dan disedekahkan kepada fakir miskin. Antara hikmah menggunting atau mencukur rambut tersebut ialah agar terbuka liang-liang rambutnya dan mungukuhkan pancainderanya seperti penglihatan, pernafasan, dan pendengaran. Yahya bin Bukhair telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah SAW telah menyuruh mencukur rambut Hasan dan Hussain pada hari ketujuh mereka dilahirkan dan rambut-rambut mereka yang telah dicukurkan dan disedekahkan perak seberat timbangannya."
  3. Menamakannya dengan nama yang baik : Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberikan nama yang mempunyai makna atau maksud yang baik-baik kepada bayi yang baru dilahirkan. Janganlah terpengaruh dengan trend manusia pada hari ini yang mengambil nama-nama artis yang glamour, atau menggabungkan nama-nama yang baik dengan nama-nama lain yang tidak Islamik atau nama-nama yang tidak mempunyai makna. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Kamu sekelian di hari kiamat akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperoleh nama-nama kamu."(Riwayat Abu Daud) Pernah suatu ketika Sayyidina Umar al-Khattab menamakan anak perempuannya dengan nama 'Ashiyah yang bermaksud penderhaka, lalu Rasulullah SAW menukarkan nama tersebut dengan nama Jamilah yang bererti cantik. Janganlah kiranya kita mahu terlalu kontemporari sehingga menamakan anak-anak dengan nama yang berjela-jela tetapi mempunyai maksud yang jelek atau tidak menpunyai maksud langsung. Biarlah nama anak ringkas tetapi mempunyai maksud yang boleh mendoakan anak tersebut. Dalam satu hadith, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:"Sebaik-baik nama kamu di sisi Allah 'Azza wa Jalla ialah Abdullah dan Abdul Rahman."(Riwayat Muslim)
  4. Aqiqah : Antara tanggungjawab ibubapa lagi ialah mengaqiqahkan anak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Bersama anak aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya dan hindarkanlah bahaya daripadanya". (Riwayat Bukhari) Bagi bayi lelaki maka disunatkan untuk menyembelih dua ekor kambing untuknya manakala untuk anak perempuan maka disunatkan seekor kambing sahaja. Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama umurnya dan untuk anak perempuan seekor sahaja." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi) Selain kambing, antara haiwan lain yang boleh disembelih untuk aqiqah ialah lembu dan unta. Manakala masa yang paling sunat untuk dibuat aqiqah ialah hari ketujuh kelahiran seseorang bayi. Walau bagaimanapun, jikalau tidak sempat pada hari ketujuh, maka bolehlah dibuat pada mana-mana hari yang mampu dilakukan oleh ibubapa seseorang bayi.

wa Allah a'lam.

No comments: