Friday, October 17, 2008

[Tazkirah 1] KITA DAN NATIJAH RAMADHAN

Apabila berlalunya Ramadhan, kita kekadang terlalu gembira. Mungkin kerana kita berjaya melawan segala godaan nafsu disepanjang mengharunginya. Atau gembira kerana tiada lagi sekatan untuk makan dan minum! Apapun, kita tahu siapa kita. Iman menjawab segalanya.
Namun, seeloknya kita bermuhasabah tatkala nyawa masih lagi dikandung badan. Apakah Ramadhan yang baru sahaja dilalui berjaya membentuk diri bertakwa? Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardhukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa" (Al-Baqarah:183). Makanya kita perlu mengambil iktibar dari pensyariatan puasa iaitu untuk melahirkan seorang hamba Allah yang bertakwa.Persoalan yang perlu ditanya: "Adakah segala perbuatan dan sifat aku sesudah Ramadhan memang bertakwa atau seperti sebelum Ramadhan lalu atau lebih teruk dari itu?
Seandainya sebelum Ramahdan kita antara hamba Allah yang selalu membuat maksiat, namun selepas Ramadhan kita berasa gerun untuk lakukan semua itu. Seandainya sebelum Ramadhan kita selalu menyakiti hati sesama insan, namun selepas Ramadhan kita begitu bersifat mawaddah dan rahmah sesama makhluk. Seandainya sebelum Ramadhan kita sering mengambil ringan tentang ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atas kita oleh Robbul Jalil, namun sepelas Ramadhan, kita begitu menjaga masa solat, cerewet agar puasa sunat tidak ditinggalkan, cerewet agar zakat tidak diabaikan. Andai semua inilah sifat kita, maka bersyukurlah dan doakanlah agar Allah kekalkan nikmat iman, hidayah dan Islam ini. Andai sebaliknyalah sifat kita, maka bersegeralah kembali kepada Islam! Jangan terlewat sedikit pun! Allah SWT berfirman dan Surah Ali 'Imran ayat 133 yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa".
Seharusnya kita terus hayati firman Allah SWT dalam surah al-Soff ayat 10-11 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman,! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, serta kemu berjihad di jalan Allah (membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikatnya yang sebenar)".
Wallahua'lam

No comments: